"MAYBANK jangan buat pasal, rata-rata dalam akaun kami duit pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan gaji bulan ini."
Itu antara komen yang ditinggalkan pengguna aplikasi e-dompet, MAE dan perbankan Internet, Maybank2U(M2U) yang mengalami gangguan perkhidmatan pada Isnin.
Maybank pada hari sama memaklumkan perkara itu dalam hantaran di Facebook yang menyatakan bahawa berlaku sedikit kelembapan pada sistem buat kedua-kedua aplikasi berkenaan.
Rata- rata pengguna meninggalkan pelbagai komen dan pertanyaan pada hantaran tersebut ternasuk rasa gusar kerana akaun mereka berbaki RM0.
Seorang pengguna Facebook, Suazreal Abu Bakar memberitahu awalnya dia merasakan masalah teknikal itu berpunca akibat perbuatan scammer.
“Patutlah Maybank M2U macam tak betul, buka kejap ada baki, kemudian sekali lagi duit tiada.
“Saya fikir scam tadi,” katanya.
Sementara itu, Lee Inas pula menyatakan dia hampir mendapat serangan jantung kerana melihat baki akaunnya tiba-tiba RM0.
“Kali kedua hampir kena serangan jantung tengok baki RM0.
“Hari bayaran pertama KWSP pun sama tengok baki RM0, ini terjadi kali kedua, jangan ada kali ketiga mahu meninggal orang nanti,” kongsinya.
Kebanyakan pengguna juga mengharapkan agar pihak Maybank dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin berikutan ramai mahu melakukan urusan perbankan secara dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram