POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tular seorang lelaki warga asing yang berang ketika ditegur tidak memakai pelitup muka sehingga mengeluarkan kata kesat dan menunjuk isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Ashari Abu Samah berkata, rakaman video berdurasi 18 saat yang telah dimuat naik di akaun TikTok dan Twitter itu dikesan semalam dan laporan juga telah dibuat oleh pihak keselamatan pasar raya tersebut.
"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil memberi maklumat atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram