Pemimpin politik antara 7 terperangkap dalam ruang ATM di Sungai Buloh


  • 112
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan sepasukan bomba dalam operasi mengeluarkan mangsa terperangkap di ruang mesin ATM sebuah bank di Sungai Buloh pada Jumaat.

TUJUH individu termasuk bekas Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail dilaporkan terperangkap dalam ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Sungai Buloh, Selangor pada Jumaat.

Kejadian itu tular menerusi rakaman video berdurasi 24 saat, memaparkan sepasukan anggota bomba sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa terperangkap.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, laporan kejadian diterima pada 12.09 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki dilaporkan terperangkap hampir setengah jam.

"Pasukan bomba bertindak menghubungi talian hotline bank berkenaan bagi memaklumkan terdapat mangsa terperangkap dalam bilik mesin ATM tersebut.

"Operator memaklumkan bahawa mangsa yang terperangkap perlu menekan butang kecemasan yang terdapat di bilik berkenaan bagi membuka pintu automatik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa berjaya keluar dengan selamat sebelum anggota bergerak ke balai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram