SEORANG pengguna jalan raya sempat membisikkan kalimah syahadah di telinga seorang daripada empat mangsa kemalangan yang maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Lingai, di Kuala Nerus, Terengganu pada petang Isnin.
Ahmad Faizol Mohd Yusop, 36, berkata, kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari menghantar anaknya di asrama di Kampung Basung, Hulu Terengganu.
"Secara kebetulan saya melalui jalan yang sama tidak lama selepas insiden itu berlaku. Selepas parkir kenderaan di bahu jalan, saya nampak ada tiga mangsa telah meninggal dunia manakala seorang lagi mangsa parah dan terbaring di atas jalan.
"Walaupun tidak kenal siapa mangsa, saya cuba dekati dan nampak dia masih bernafas. Saya pun segera bisikkan dua kalimah syahadah pada telinganya," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Jelas Ahmad Faizol, sebaik ambulans dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba di lokasi berkenaan, dia segera beredar bagi memberi laluan kepada pasukan keselamatan itu untuk memeriksa keadaan mangsa.
"Saya tidak tahu macam mana keadaan mangsa selepas itu. Saya hanya dapat tahu kesemua mangsa kemalangan yang menaiki van telah meninggal dunia.
"Saya turut berduka dengan apa yang berlaku. Takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga urusan mereka semua berjalan lancar," katanya.
Ahmad Faizol (kiri) membisikkan dua kalimah syahadah di telinga mangsa yang ketika itu parah selepas terlibat kemalangan di di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Lingai, di Kuala Nerus pada petang Isnin.
Tragedi yang berlaku pada dua Ramadan itu mengorbankan empat juruteknik pendingin udara iaitu Muhammad Saufi Jusoh, 34, Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36, Mohd Sahlan Mat Saat, 37 dan Kairol Arman Kamrudin, 38.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, nahas berlaku apabila van yang dinaiki empat lelaki berkenaan gagal memotong sebuah kenderaan.
Katanya, keempat-empat mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Besut menuju ke Kuala Terengganu.
"Apabila tiba di selekoh, van tersebut memotong sebuah kenderaan di hadapan tetapi gagal lalu bergesel pada bahagian kanan sebuah Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.
"Van berkenaan kemudiannya bertembung dengan bas ekspres yang berada di belakang Proton Persona menyebabkan kereta itu berpusing dan terlanggar sebuah Proton Wira yang berada di belakang van," katanya.
Beliau berkata, mayat kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut sebelum dituntut ahli keluarga. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram