Konon nak elak sambutan Aidilfitri tidak lengkap, ada umat Islam berpuasa tetapi tidak solat, apa hukumnya?


  • Mukmin
  • Isnin, 18 Apr 2022

Puasa seseorang yang tidak solat adalah sah tetapi amalannya itu seakan tiada makna kerana tidak menunaikan kunci ibadat iaitu sembahyang.

UMUM mengetahui Ramadan ialah bulan yang mana umat Islam akan berebut-rebut untuk membuat kebaikan dan pasti ramai yang akan berpuasa walaupun menyedari ada rukun lain yang tidak dilakukan.

Sedar atau tidak, segelintir daripada masyarakat Melayu apabila tibanya bulan Ramadan pasti akan berpuasa tetapi sayangnya rukun Islam yang lain seperti menunaikan solat ditinggalkan meskipun mengetahui ianya wajib dilakukan sebagai umat Islam.

Timbul soalan dalam kalangan umat Islam, di sebalik kegigihan seseorang itu menunaikan puasa di bulan Ramadan namun tidak pula menunaikan tiang agama iaitu solat, apakah amalannya menunaikan rukun Islam ketiga itu sah disisi Islam?

Menjawab persoalan itu, pendakwah bebas, Wadi Anuar berkata, puasa seseorang yang tidak solat adalah sah tetapi amalannya itu seakan tiada makna kerana tidak menunaikan kunci ibadat iaitu sembahyang.

Solat lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan adalah diantara lima rukun Islam sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW.

Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 'Tegaknya Islam itu berdasarkan lima perkara; Syahadat bahawa tiada Tuhan (yang disembah sebenarnya) melainkan ALLAH dan Muhammad adalah utusan ALLAH, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji. dan berpuasa di bulan Ramadhan.— [Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)].

"Banyak orang dalam masyarakat begini. Saya tidak sebut majoriti, saya sebut banyak sebab banyak saya jumpa iaitu bila datang bulan Ramadan dia puasa tapi aurat tak tutup.

"Bila datang bulan Ramadan, puasa tapi tak solat. Ramai juga yang begini. Yang ini memang ramai kita jumpa. Mak nyah pun puasa bulan ramadan. Bukan nak sebut mak nyah sahaja tetapi ada juga budak-budak dan remaja yang tidak solat sepanjang tahun namun bila datang Ramadan, mereka berpuasa. Puasa mereka sah tapi tiada makna," kata pendakwah itu menerusi video siaran langsung di laman Facebooknya.

Menurutnya, golongan seperti itu bertindak untuk berpuasa kerana merasakan jika mereka tidak menunaikan rukun Islam ketiga itu akan membuat sambutan Hari Raya kurang lengkap namun lupa bahawa solat sama penting untuk dilaksanakan sebagai umat seorang Muslim.

"Saya renung-renung balik, saya dapati bahawa orang ini bila dia tak puasa, dia nak sambut raya itu tidak best. Dia rasa tidak best, rasa tidak bernilai. Oleh itu, bila Ramadan datang, dia pun berpuasa. Jadi dia seronok untuk sambut raya," katanya.

Sehubungan dengan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat, mereka yang tidak solat tetapi berpuasa dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala.

Berikut merupakan pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain.

Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya. — [Riwayat Bukhari & Muslim]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram