Harga tiket penerbangan turun 30 peratus


  • Primer
  • Isnin, 18 Apr 2022

Peningkatan bilangan penumpang kapal terbang bukan sesuatu yang baharu setiap kali musim perayaan. — Gambar hiasan/Bloomberg

HARGA tiket penerbangan turun sebanyak 30 peratus selepas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bersedia bertolak ansur menurunkan kadar harganya pada musim perayaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak bagaimanapun berkata, Mavcom akan itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi melihat secara terperinci kadar perbandingan penurunan harga tiket penerbangan dalam masa terdekat.

"Ada segelintir yang mengatakan harga tiket meningkat lebih 70 peratus, tetapi kita berjaya kurangkan banyak daripada kadar berkenaan termasuk kadar pada Isnin.

"Ini kerana kita berjaya meningkatkan kekerapan penerbangan dengan cara menyusun semula pergerakan kapal-kapal terbang supaya tumpuan diberikan kepada musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghantaran kakitangan Express Rail Link (ERL) ke ‘Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Line’ bagi menyokong operasi musim Haji 2022, di KL Sentral di ibu negara pada Isnin.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengaut keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan ini.

Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama.

Sementara itu, merujuk kepada cadangan berhubung penubuhan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), sebagai pusat kecemerlangan nasional bagi industri kereta api, Isham berkata, ia dijangka diluluskan oleh kabinet dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pusat itu boleh menangani masalah kekurangan kepakaran dalam industri rel negara, membolehkan Malaysia mengembangkan pengetahuan dan keupayaannya dalam sektor tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram