Mahu bebas, rakan mati tak diberi ubat antara sebab tahanan depot larikan diri


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

Sebahagian daripada tahanan warga Rohingya yang melarikan diri pada awal pagi Rabu.

MAHU membebaskan diri selain daripada memaklumkan bahawa rakan tahanan mereka sudah mati dalam pusat tahanan kerana tidak diberi ubat.

Itu yang diceritakan Syamsuddin Che Adni, 29, penduduk Kampung Relau yang sempat mengikut tahanan yang cuba lari dalam kejadian pada awal pagi Rabu di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Menurut Syamsuddin, sebelum tu dia berada di luar rumah dan sempat bertanya kepada tahanan mengapa mereka melarikan diri.

"Mereka memaklumkan ada seorang kawan mati dalam pusat tahanan terbabit kerana tidak diberi ubat," dakwanya.

Menurutnya, dia kemudian meminta bantuan rakan sekampung untuk mengekori semua tahanan terbabit.

"Kami mengekori semua tahanan terbabit yang berjalan tanpa kasut lebih 10 kilometer hingga menuju ke lebuh raya.

"Kami mengambil pendekatan secara berlembut kerana tidak mahu mereka bertindak ganas dalam kumpulan yang ramai," katanya.

Menurutnya, ada tahanan yang dilihat keletihan dan kesempatan itu diambil mereka untuk menangkap tahanan yang berada di kelompok belakang kumpulan itu.

Dalam pada itu, dia juga berada di lokasi kejadian ketika enam orang tahanan itu dilanggar semasa melarikan diri.

"Saya dan rakan yang mengekori kumpulan tahanan terbabit sudah menjerit memberi amaran supaya mereka tidak melintas lebuh raya berkenaan.

"Bagaimanapun, mereka tetap berdegil sehingga enam daripadanya terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak dilanggar beberapa kenderaan," katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di depan matanya namun dia dan rakan-rakan tidak mampu berbuat apa-apa kerana kenderaan bergerak laju.

"Saya hanya mampu melihat tubuh mereka dirempuh treler sebelum tercampak dan dilanggar pula kenderaan lain," katanya. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram