BOTOL minuman plastik, puntung rokok, kepingan plastik dan pembungkus makanan adalah antara sampah yang dibuang oleh pengunjung di sepanjang pantai Lone Pine dan Golden Sands, di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Keadaan tidak normal ini berpunca daripada kebanjiran pengunjung di pantai pada hujung minggu.
"Pada pagi Isnin, seramai 10 anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pergi ke pantai, mengutip kira-kira 1.5 tan sampah, kata jurucakap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, MBPP berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pengunjung itu sekali gus mengotorkan pantai itu dengan sampah sarap.
Sampah sarap di sekitar pantai di Pulau Pinang. — Facebook
Katanya, kakitangan MBPP mengambil masa kira-kira lima jam untuk mengutip sampah serta membersihkan kawasan pantai.
Justeru, MBPP menyeru orang ramai agar tidak mengulangi kejadian sebegini, selain berharap mereka yang mengunjungi destinasi pelancongan itu perlu bertanggungjawab serta menjaga kebersihan.
MBPP pada masa sama tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan punitif terhadap individu yang mencemarkan kawasan pantai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram