Suku pertama 2022 rekod kematian 31 ekor penyu


  • Primer
  • Jumaat, 01 Apr 2022

PELBAGAI langkah telah diambil bagi mengatasi isu kematian penyu antaranya menjalankan ‘Ops Penyu’. — The Star

JABATAN Perikanan Negeri Terengganu merekodkan 31 kes kematian penyu sejak Januari hingga Mac 2022.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, jumlah kematian agak tinggi itu antara lain disebabkan ombak kuat pada musim tengkujuh yang menyukarkan reptilia tersebut untuk naik ke permukaan air bagi mendapatkan udara.

"Faktor kedua adalah disebabkan aktiviti pukat tunda tidak menepati syarat ditetapkan iaitu tiada pemasangan alat Peranti Penyisih Penyu (TED). Pemasangan TED amat penting bagi memudahkan penyu yang terperangkap di dalam pukat untuk keluar.

"Penangkapan ikan menggunakan pukat pari atau pukat tangsi bersaiz mata pukat 10 inci ke atas juga menjadi punca kematian haiwan tersebut. Penggunaan pukat pari seumpama itu telah diharamkan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesedaran Penyu Negeri Terengganu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Dungun, Terengganu.

Selain itu, katanya, pembuangan sampah oleh orang awam ke dalam sungai dan laut turut menjadi ancaman kepada hidupan laut itu yang termakan plastik kerana menganggap ia adalah obor-obor.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi mengatasi isu kematian penyu antaranya menjalankan ‘Ops Penyu’ dan pihak jabatan berjaya menahan tiga bot Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) yang tidak menggunakan TED.

Menurut rekod, jabatan tersebut juga telah merampas 37 pukat pari dalam operasi dijalankan di pesisir pantai di Terengganu pada awal Mac 2022.

Sementara itu, katanya, sebanyak RM400,000 diperlukan daripada kerajaan negeri bagi melaksanakan program pengurusan seperti bayaran upah kepada pekerja pengurusan penyu dan pembelian telur penyu daripada pemajak di Terengganu.

Kerajaan pusat pula katanya, telah memperuntukkan RM170,000 untuk pengurusan penyu dan pembaikan tempat penetasan penyu di negeri ini pada 2022.

Ruzaidi berkata, Bulan Kesedaran Penyu yang berlangsung kini diadakan bertujuan memberi hebahan dan kesedaran kepada orang ramai dalam menjaga haiwan reptilia yang menjadi ikon pelancongan Terengganu itu.

Ia juga diadakan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai Enakmen Penyu 1951 (pindaan 2021) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada November tahun lepas, yang antaranya melarang penjualan telur penyu untuk semua spesies mulai 1 Jun 2022.

"Kita juga akan adakan aktiviti gotong-royong pembersihan pantai bersama penduduk kampung dan pengunjung serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bagi membersihkan sampah hanyut selepas musim tengkujuh yang boleh mengganggu pendaratan penyu,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

penyu, mati, perikanan, terengganu, pantai, dungun