BARU-BARU ini tular satu status di media sosial berkenaan dengan video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok 'shafeqyahya' yang memaparkan barangan kurniaan dari Istana Johor.
Ternyata perkara itu mendapat perhatian Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah yang bertitah bahawa sebarang kurniaan dari Istana Johor tidak sepatutnya disalah guna untuk meraih populariti di media sosial.
Menerusi muat naik di laman Facebook, The Royal Johor pada Selasa, baginda bertitah tidak mengenali individu pemilik akaun tersebut.
"Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai kanan kerajaan negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.
"Saya tidak mengenali siapa ‘shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga diraja Johor," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda bertitah, satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna atau menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.
Sebelum itu, pemilik akaun tersebut berkongsi video TikTok memaparkan beberapa kurniaan dari Istana Johor seperti loket rantai, syiling berwarna emas, set pen dan tasbih dan samping raya sehingga ada foto yang mendapat tanda suka lebih 19,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram