PENYELAM remaja warga Belanda, Nathen Renze Chesters, 14, yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor pada Rabu lepas, disahkan meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, perkara itu disahkan sendiri oleh bapa mangsa, Adrian Peter Chesters.
"Pihak Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari remaja terbabit yang dipercayai telah meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, APMM menamatkan Op Carilamat pada 1.30 tengah hari Sabtu susulan penemuan tiga daripada empat penyelam yang hilang.
Polis menunjukkan gambar Adrian Peters selepas dia ditemukan pada Sabtu. — Reuters
Pada Rabu lalu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing, Johor.
Namun, jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis lalu.
Adrian Peters, 46, yang merupakan warga British, dan Alexia Alexandra Molina, 18, seorang warga Perancis, pula ditemukan selamat oleh nelayan tempatan pada kira-kira 1 pagi. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram