IBU kepada salah seorang penyelam Perancis yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, di Mersing, Johor mengharapkan yang terbaik ketika pencarian remaja itu serta dua lagi warga Eropah memasuki hari ketiga.
Ketiga-tiga mereka hilang bersama-sama dengan jurulatih selam, Kristine Grodem, 35, pada Rabu selepas menyelam di perairan berkenaan.
Grodem bagaimanapun dapat diselamatkan pada Khamis selepas hanyut berbatu-batu sebelum dia dimasukkan ke hospital dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pegawai penyelamat percaya mangsa yang lain akan ditemui selamat kerana dikatakan sudah keluar ke permukaan air sebelum hilang selain mengambil kira faktor mereka sebagai penyelam berpengalaman.
Esther Molina, ibu kepada warga Perancis yang hilang, Alexia Alexandra Molina, 18, turut menunjukkan sikap optimistik.
"Kami dimaklumkan daripada penyelam bahawa situasi semasa agak memberangsangkan, mereka berada di permukaan air dan mudah-mudahan mereka masih bersama," katanya kepada AFP.
Dia yang mengikuti operasi itu dari pusat pencarian yang berpangkalan di Mersing berkata, pihak berkuasa mengendalikan operasi itu dengan cekap dan sentiasa mengemas kini status carian.
"Kami mengharapkan yang terbaik. Dia seorang gadis yang kuat," katanya.
PENCARIAN penyelam yang hilang itu melibatkan 10 buah bot dan tiga buah helikopter. — Agensi
Dua lagi penyelam yang hilang ialah lelaki Britain, Adrian Peter Chesters, 46, dan anaknya Nathan Renze Chesters, 14, yang merupakan warganegara Belanda.
"Pencarian yang melibatkan 10 buah bot, tiga buah helikopter dan berpuluh-puluh pegawai penguat kuasa di sambung semula pada awal pagi Jumaat, kata Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing.
"Sehingga kini, kami tidak menerima penemuan baharu berkaitan tiga penyelam yang hilang itu," katanya pada sidang akhbar, dengan menambah bahawa dia percaya mangsa akan ditemui.
Ketika kejadian, Grodem sedang mengajar kesemua penyelam itu di kawasan berhampiran sebuah pulau kecil, Tokong Sanggol, kira-kira 15 kilometer dari pantai tenggara Malaysia.
"Pada selaman kedua, mereka naik (timbul) selepas 20 minit. Grodem kemudian menyedari arus kuat dan cuba memanggil tekong tetapi tidak didengari memandangkan mereka hanyut jauh kira-kira 500 meter dari lokasi bot berada," kata Cyril.
Grodem kemudian cuba berenang ke Pulau Lima untuk meminta bantuan namun arus kuat menghalang wanita itu ke sana selain turut memisahkan dia dengan tiga penyelam lain. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram