"Hilang kawan tersayang, tiba-tiba orang itu sedang menelefon anda" — Rakan lega terima panggilan penyelam hilang di Mersing


  • 112
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Grodem (kanan) merupakan penyelamat pertama yang ditemukan selamat pada Khamis lalu. — Bernama

SATU panggilan suara yang tidak diduga daripada salah seorang penyelam warga asing yang hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor menggunakan aplikasi Facebook pada pagi Khamis lepas, telah memberikan kelegaan kepada seorang warga Britain, Richard Wills.

Wills, 29, yang merupakan rakan kepada jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, berkata, beliau menerima panggilan itu kira-kira pukul 9.16 pagi iaitu sehari selepas Grodem dan tiga lagi penyelam, Adrian Peter Chesters, 46, warga Britain dan anak lelakinya Nathen Renze, 14, warga Belanda dan warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, dilaporkan hilang.

"Saya sedang memandu ke Mersing, Johor pada masa itu, dan saya telah membrek apabila saya nampak nama beliau di telefon. Cuba bayangkan, ketika anda dalam keadaan hilang kawan tersayang, tiba-tiba terpapar di skrin telefon bimbit bahawa orang itu sedang menelefon anda.

"Saya berada di kawasan dengan talian yang teruk, jadi saya memandu disekitaran untuk cuba mendapatkan signal yang lebih baik. Ketika menjawab panggilan itu, saya merasa sebak, sangat lega dan bersyukur, kerana Kristine (Grodem) menghubungi saya dan saya tidak pernah gembira seperti itu apabila seseorang menelefon saya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Peter Chesters dan Alexandra Molina di Unit Rawatan Rapi (ICU), di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu.

Wills yang boleh berbahasa Malaysia berkata, Grodem menghubunginya pada Khamis, dengan meminjam telefon bimbit salah seorang kru bot tunda yang menemuinya di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor kira-kira 30 batu nautika dari lokasi kejadian.



Renze (bawah, kanan) satu-satunya penyelam yang belum dijumpai. — Bernama

Pengurus resort di Pulau Sibu Besar itu berkata, selepas panggilan Grodem tamat, dia terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

"Sudah lebih lima tahun saya terlibat dengan industri pelancongan di sini dan kejadian seperti ini tidak pernah berlaku. Saya lega kerana tiga penyelam sudah ditemui dengan selamat dan semakin pulih. Mereka alami lebam-lebam, selaran matahari dan hipertermia ringan tetapi sedang pulih,” katanya sambil menambah keempat-empat penyelam menetap di resortnya sebelum mereka pergi menyelam di Pulau Tokong Sanggol.

Peter Chesters dan Alexandra Molina ditemukan selamat di selatan Pengerang, Kota Tinggi kira-kira pukul 1 pagi Sabtu, manakala Grodem ditemukan selamat dalam keadaan terapung, dilengkapi pakaian dan peralatan menyelam, oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi, Khamis lepas.

Op Carilamat seorang lagi penyelam, Renze ditamatkan pada pukul 1.30 tengah Sabtu susulan kedudukan mangsa dipercayai berada di perairan Indonesia.

Dalam kejadian pada tengah hari Rabu lepas (6 April), empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram