POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan yang memandu melawan arus di Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, antara Kuala Abang dan persimpangan Tanjung Jara di Dungun pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7 pagi dan tindakan pemandu kenderaan berwarna kelabu itu dirakam pengguna jalan raya.
Menurutnya, rakaman video berdurasi 27 saat yang memaparkan kenderaan dipandu secara melawan arus itu tular di laman sosial.
“Tindakan pemandu itu berbahaya dan boleh mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya lain.
“Oleh itu kita sedang mengenal pasti model serta nombor pendaftaran kereta itu untuk siasatan lanjut,” katanya pada Sabtu.
Baharudin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram