Dua mangsa terakhir bot karam Semporna ditemukan terapung


  • 112
  • Sabtu, 16 Apr 2022

Kedua-dua mangsa terakhir bot karam itu ditemukan oleh penduduk kampung pada 7.50 pagi, Sabtu.

DUA mangsa terakhir yang hilang dalam kejadian bot karam pada Khamis lepas (14 April), ditemukan terapung berhampiran lokasi kejadian di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata pagi Sabtu.

Ini menjadikan keseluruhan tujuh daripada 21 penumpang bot itu maut dalam kejadian tersebut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Semporna, Norrimi Hassan berkata, mangsa Noranis Harimalam, 14, serta Aiman, 7, ditemukan penduduk kampung pada 7.50 pagi.

"Kedua-dua mangsa ditemukan serentak oleh penduduk kampung," katanya.

Norrimi berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah dilaporkan berkata, lima individu maut, manakala dua hilang dan 14 individu lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata.

Mohd Farhan berkata, juragan bot itu berusia 64 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram