
BERUNDING dahulu daripada menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
Itu desakan penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur berkaitan pengambilalihan tanah yang menjadi tempat tinggal mereka kini.
Seorang wakil penduduk, Azlan Mustafa, 35, berkata, walaupun terdapat penduduk rumah flat yang bersetuju, kebanyakan penduduk di rumah teres menyatakan rasa sebaliknya.
Malah katanya, pembangunan semula tidak boleh dilakukan tanpa mengambil kira suara penduduk rumah teres.
"Sebanyak 27 daripada 98 pemilik rumah di Kampung Sungai Baru masih belum menyatakan persetujuan untuk pembangunan semula tanah kami," katanya.
Tanah di kampung tersebut melibatkan dua golongan penduduk iaitu sebuah flat kos rendah PKNS dan kawasan perumahan teres.
Penduduk juga sebelum ini sudah menyatakan rasa tidak setuju terhadap jumlah pampasan yang ditawarkan iaitu sebanyak RM200,000 hingga RM250,000 bagi projek pembangunan semula melibatkan 64 buah rumah teres dan 264 unit kediaman bertingkat.
Azlan berkata, perbincangan berkenaan pampasan masih berjalan walapun pihak pemaju sudah bertemu mereka sejak 2016.
"Kita memang tidak setuju dengan apa yang ditawarkan oleh pemaju sebelum ini dan bersedia untuk berbincang semula.
"Tetapi secara tiba-tiba kami dimaklumkan yang tanah ini sudah diambil oleh pemaju dan ini membuatkan kami rasa sangat terkejut," katanya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob untuk campur tangan dalam permasalahan tersebut.
Jelasnya, beliau juga sudah dimaklumkan yang Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim sudah melantik konsultan bebas untuk menilai semula harga tanah itu.
"Penggunaan Akta Pengambilan Tanah adalah sesuatu yang hanya akan menyusahkan penduduk kerana kerajaan boleh bekerjsama dengan pemaju menggunakan akta itu untuk menjalankan pembangunan komersial," katanya
Ditanya mengapa dia tidak menghentikan projek pembangunan semula tanah itu ketika dia sedang berkhidmat, jelas Khalid, perbincangan antara dia dan pemaju sedang berjalan ketika itu.
"Sebab itu kami tidak bercadang untuk menggunakan akta tersebut kerana kita haru menghormati penduduk yang mempunyai hak milik ke atas tanah mereka," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram