Sudah tiba 'dinasour' politik termasuk Umno bersara, bagi peluang orang muda


  • Politik
  • Khamis, 31 Mac 2022

ANTARA pemimpin 'dinosaur' yang digesa mengundurkan diri daripada kancah politik.

RATA-RATA ahli Umno di peringkat akar umbi mahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundur diri daripada dunia politik.

Desakan itu dibuat selepas mengambil contoh apa yang dilakukan veteran DAP, Lim Kit Siang apabila dia bersara daripada arena politik bagi memberi laluan kepada pemimpin lebih muda.

Persaraan Kit Siang menyaksikan tampuk pimpinan kini diterajui anaknya, Lim Guan Eng yang pada masa sama membuka laluan kepada Anthony Loke untuk mengambil alih jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandang Guan Eng sebelum ini.

PKR juga menyaksikan Rafizi Ramli yang berehat daripada politik sebelum ini membuat kemunculan semula untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada Mei ini.

Meskipun ada suara-suara supaya peralihan kepimpinan dibuat terhadap jawatan Presiden PKR yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi sudahpun tampil menjelaskan alasannya berkecimpung semula dalam politik bukanlah untuk 'melanggar' Anwar.

Melihat situasi ini, ada suara-suara akar umbi yang menganggap perkara sama perlu dibuat dalam Umno yang dipimpin 'dinosaur-dinosaur' seperti Najib dan Zahid.

"Semua pemimpin 'dinosaur' ini perlu bersara daripada politik dan biar orang muda naik ke atas sebagai pemimpin.

"Baik Najib dan Zahid. Pemimpin parti lain pun seperti Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang), Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS), Kit Siang (DAP), Anwar (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu).

"Semua ini kena bersara dah. Terlalu banyak kerosakan telah dibuat mereka," kata sumber akar umbi itu.

Barisan Nasional chairman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi making the announcement at Johor Umno headquarters with regards to Barisan Nasional willing big in the Johor elections. Also present include Umno deputy president Datuk Seri Mohamad Hasan and Datuk MCA president Datuk Seri Dr Wee Ka Siong and former Prime Minister Datuk Seri Najib Razak. - THOMAS YONG/The Star

ZAHID (dua kanan) dianggap rakus terhadap orang yang pernah membantu beliau dan Umno demi berada di puncak kuasa. — The Star

Survival politik peribadi

Dalam hal ini, ada suara akar umbi menyifatkan faktor kredibiliti dan integriti yang dihadapi pemimpin terbabit wajar diambil kira kerana masih berdepan beberapa tuduhan mahkamah.

"Selain itu, apa yang terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini membuka mata akar umbi.

"Kononnya selepas Barisan Nasional (BN), Umno kembali raih kepercayaan pengundi, kluster mahkamah ini akan berundur tetapi apa yang dilihat sebaliknya.

"Hal ini buat ramai yang 'terbakar' kerana tidak senang dengan percaturan untuk menaikkan semula Najib serta Zahid.

"Suara Presiden Umno berundur kini menjadi perbualan dalam kalangan ahli," tambah sumber itu.

Sementara itu, seorang ahli Umno bahagian Johor mengingatkan akar umbi supaya tidak terlena dengan merisikokan parti untuk dipimpin seorang presiden yang seolah-olah tidak diiktiraf golongan tertentu.

"Apabila seorang presiden yang menjadi liabiliti kepada parti sebenarnya sedang merisikokan Umno sekali lagi kepada kekalahan total pada masa akan datang.

"Presiden ini rupanya sedang berkonfrantasi dengan survival politik peribadi dengan mengheret parti sebagai perisai diri.

"Saya mohon Zahid sedar dan berfikir dengan waras bahawa perbuatan beliau hari ini merupakan bayangan dan cerminan kepada sebuah hati yang rakus dan kotor terhadap rakan dan orang yang pernah membantu beliau dan parti Umno," katanya.

PUCUK pimpinan Umno sepatutnya menyantuni pandangan ahli-ahli biasa tentang pemilihan parti. — The Star

Bebaskan parti daripada kluster mahkamah

Dalam pada itu, penganalisis isu-isu semasa, Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim memaklumkan berdasarkan data rasmi, sebanyak 42 peratus bahagian memohon PRU-15 diadakan sebelum pemilihan parti.

Beliau dipetik berkata, kira-kira 3.26 peratus bahagian pula memohon agar pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15.

"Hanya enam bahagian sahaja tidak senada yang berkehendakkan PRU-15 selepas pemilihan parti," katanya.

Biarpun data itu menunjukkan 184 daripada 191 bahagian Umno menyokong pembubaran Parlimen sebelum Pemilihan Umno, namun suara minoriti tidak boleh dipandang sepi.

Ini kerana ada ahli-ahli Umno secara terang-terangan bersuara dalam media sosial mahu parti dibebaskan daripada cengkaman kluster mahkamah sebelum PRU-15.

Jadi tidak dipastikan sama ada majoriti cawangan Umno dan akar umbi berpendirian serupa, mahukan pemilihan dibuat selepas PRU-15.

Penganalis politik, Hassan Sulaiman dipetik berkata, pucuk pimpinan Umno sepatutnya menyantuni pandangan ahli-ahli biasa dan bukannya percaya bulat-bulat para ‘warlord’ yang hanya tahu membodek untuk menyelamatkan punggung sendiri.

Jika tidak, katanya, kekecewaan akar umbi akan dilampiaskan pada PRU-15 dan tidak mustahil mereka enggan mengundi kerana kecewa dengan sikap pucuk pimpinan parti itu yang masih angkuh dan sombong selepas ‘diajar’ oleh rakyat pada PRU-14.

"Justeru, memang amat wajar Umno mengadakan pemilihan segera sebelum PRU-15 bagi memperbetulkan keadaan dan menyatupadukan ahli-ahli parti di bawah satu pasukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram