Sudah ada yang mahu beli lukisan orang utan, katak di Dewan Rakyat


  • Politik
  • Khamis, 14 Apr 2022

Lukisan yang tular dibeli oleh Sultan Sharafuddin. — Facebook Selangor Royal Office

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyuarakan minatnya untuk membeli lukisan yang menggambarkan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebagai monyet dan katak milik Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam satu hantaran Facebook pada Khamis, Mohd Puad berkata, beliau akan membeli lukisan itu sekiranya baginda berhasrat untuk melelongnya.

"Saya sedia membeli lukisan Parlimen beruk dan katak jika Sultan Selangor satu hari nanti, mahu melelongnya.

"Jika lukisan itu milik saya, ia tidak akan dijual lagi. Saya akan hadiahkan kepada Muzium Negara untuk dipamerkan kepada orang awam,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit itu.

Sebelum ini, lukisan itu menarik perhatian netizen selepas Facebook Selangor Royal Office memuatnaik satu hantaran yang menunjukkan baginda bersama lukisan itu.

Lukisan itu juga menunjukan keadaan Parlimen Malaysia dengan Ahli Parlimen digambarkan sebagai katak dan monyet.

Menurut hantaran berkenaan, Sultan Sharafuddin berhasrat untuk menggantung karya seni itu di bilik belajar peribadi baginda dan berhasrat untuk melelong lukisan itu satu hari nanti bagi tujuan kebajikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram