Pemilihan Ismail Sabri sebagai 'poster boy' PM PRU15 tanda Umno banyak berubah — Qobin


  • Politik
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Keputusan Umno untuk mengekalkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15 diterima baik para pemimpin Umno serta pemimpin utama parti komponen BN.

KEPUTUSAN Umno mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 menunjukkan parti itu fokus kepada agenda membela rakyat.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ia juga adalah bukti bahawa pemimpin parti itu sentiasa membuat sesuatu keputusan dalam semangat kesetiakawanan.

"Walau ada yang sentiasa mengambil peluang memporak-perandakan dan mengadu domba agar Umno dilihat bercakaran, hakikat sebenar telahpun dibuktikan bahawa kepentingan rakyat lebih diutamakan berbanding perebutan kuasa dalaman parti Umno.

"Saya amat berbangga dengan sikap berjiwa besar Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Hasan yang meletakkan kepentingan parti berbanding jawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sikap yang ditunjukkan kedua-dua tokoh itu harus dicontohi oleh ahli Umno lain, dan mengetepikan segala perselisihan serta permasalahan dalam parti, demi kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

WhatsApp Image 2022-04-15 at 10.45.33 AM

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Katanya, perubahan drastik yang berani dilakukan pimpinan tertinggi Umno itu menunjukkan parti itu kini telah banyak berubah dan bukan lagi sebuah parti yang retorik.

Mengenai masa yang sesuai untuk menganjurkan PRU15, beliau berpendapat bahawa Ismail Sabri mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan tarikh yang sesuai.

"Saya rasakan Perdana Menteri lebih bijak dan tahu masa dan waktu pembangkang sedang lemah dan kucar kacir. Itulah masa yang amat tepat.

"Mereka hanya bergabung demi kuasa, tapi lepas menang, hanya membalas dendam tanpa mempedulikan nasib rakyat. Jangan lagi berikan mereka masa dan ruang mengatur strategi dengan menyebar fitnah dan menanam kebencian 'palsu' kepada rakyat untuk merosak Umno," ujarnya.

Beliau berharap rakyat di negara ini dapat memberi mandat kepada BN pada PRU15 agar Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang stabil, makmur, diyakini pelabur dan mempunyai kestabilan politik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram