SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa berkenan membeli sebuah karya lukisan satira yang menunjukkan Dewan Rakyat dipenuhi pelbagai haiwan seperti katak dan monyet.
Namun, lukisan tersebut hanya menampilkan tiga wajah manusia seakan-akan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua orang lagi kakitangan Parlimen.
Sebaliknya, kesemua tempat duduk dalam Dewan Rakyat diisi oleh haiwan-haiwan seperti katak, orang utan dan beruk.
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh Selangor Royal Office di Facebook, baginda berhasrat untuk melelong lukisan terbabit dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan.
Menjengah reaksi warganet di media sosial, rata-ratanya bersetuju dengan tindakan baginda membeli lukisan berkenaan.
Menurut pengguna Facebook, Zaaba Aman, pembelian lukisan itu oleh baginda disifatkan amat tepat dan kena pada keadaan serta suasana politik negara ketika ini.
Dakwanya, sejak pemerintahan negara dikuasai oleh Pakatan Harapan, Parlimen dijadikan sebagai sebuah tempat untuk menunjukkan 'kekuasaan' mereka.
Tambahnya, berkemungkinan baginda membeli lukisan itu kerana murka dengan tindakan segelintir ahli Parlimen sebelum ini yang pernah menukar tulisan papan tanda kepada bahasa Cina di Selangor.
Malahan pemilik FB ini juga berharap agar lukisan itu dapat diabadikan di ruang Parlimen sebagai bahan sejarah memaparkan senario politik negara. — Majoriti