Pemandu Bezza dicekup lawan arus, rempuh dua penunggang motosikal


  • Tular
  • Selasa, 12 Apr 2022

Tangkap layar kereta Perodua Bezza digunakan suspek remuk selepas melanggar dua penunggang motosikal.

SEORANG pemandu Perodua Bezza bukan sahaja memandu secara melawan arus, malah turut melanggar dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) arah Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.

Pada mulanya, gerak-geri pemandu tersebut itu dirakam oleh seorang lelaki, yang tidak berpuas hati ketika suspek bertindak melawan arus pada petang Isnin.

Tekaan bahawa perbuatan itu boleh mengundang bahaya tepat, apabila suspek hampir melanggar beberapa kenderaan besar sebelum merempuh dua penunggang motosikal.

Beberapa pengguna jalan raya yang berang dengan kejadian itu dilihat turut berkumpul di tempat kejadian sebelum mencekup suspek.

Video tersebut tular sejak Isnin di laman Facebook, selain turut mendapat perkongsian serta kecaman daripada rata-rata pengguna laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor dalam satu kenyataan berkata, suspek, 42, yang cedera pada kepala ditahan kira-kira jam 4 petang Isnin ketika menerima rawatan di Hospital Banting, Selangor.

"Suspek yang juga pemandu Perodua Bezza yang videonya memandu melawan arus tular di media sosial sudah ditahan dan sampel darahnya juga sudah diambil untuk tujuan analisis alkohol dan dadah," katanya mengesahkan suspek tidak akan direman kerana mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.49 petang itu, penunggang motosikal jenis Honda Dash menyedari sebuah Perodua Bezza berhenti di lorong kecemasan dan memberhentikan kenderaannya di hadapan kereta terbabit.

"Secara tiba-tiba Perodua Bezza bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan Honda Dash sehingga penunggangnya terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada kaki dan tangan," katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, selepas pelanggaran itu, pemandu Perodua Bezza itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan berkenaan sehinggalah melanggar motosikal jenis Yamaha LC135 di KM 30.1 Lebuhraya SKVE, menyebabkan penunggangnya tercampak dan mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.

"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram