Trend warganet guna bahasa kasar di media sosial


  • Massa
  • Jumaat, 08 Apr 2022

SEBAHAGIAN besar warganet menghamburkan kata-kata kesat terhadap seorang pensyarah yang didakwa menghina golongan B40 baru-baru ini.

ISTILAH netizen atau warganet tidak asing lagi dalam kalangan pengguna media sosial. Warganet didefinisikan sebagai pengguna yang terlibat secara aktif dalam talian seperti di Facebook, Twitter, Instagram, Tik Tok dan pelbagai lagi media sosial yang lain. Penggunaan media sosial tanpa sekatan ini memberi ruang dan peluang kepada pengguna media sosial untuk bebas bersuara dan memberikan pandangan mereka tanpa batasan. Ia sekali gus mewujudkan trend bahasa kasar dalam komen yang diberikan.

Bahasa kasar ialah bentuk bahasa yang menggunakan kata-kata yang tidak senonoh, misalnya, kata makian, carutan, bidasan, hinaan, penghinaan dan sebagainya. Bahasa kasar juga merupakan tingkah laku biasa yang telah meresap ke dalam semua bentuk teknologi komunikasi manusia. Statistik menunjukkan penggunaan bahasa kasar di media sosial sebanyak 51 juta ciapan dan 14 juta pengguna mendedahkan bahawa bahasa kasar muncul pada kadar 1.15% di Twitter, manakala kata-kata kutukan itu muncul dalam 7.73% daripada semua ciapan. Ini bermakna satu daripada setiap 13 ciapan mengandungi kata-kata kasar. Hal ini jelas menunjukkan media sosial dijadikan platform yang mendorong pengguna untuk menggunakan bahasa yang kasar.

Buktinya, kita acap kali dipertontonkan di media sosial iaitu pada video atau audio visual yang tular mengandungi kata-kata kasar dan kesat. Antara perkataan yang sering digunakan adalah seperti 'b**i', 'p*****k', 'b******g', 'kepala ***** kau' dan pelbagai perkataan lain yang menunjukkan akhlak semakin berkurangan serta budi bahasa semakin hilang. Sepatutnya, budi bahasa dan akhlak menjadi sebahagian dan harus diterapkan dalam kehidupan anggota masyarakat. Lebih menyedihkan lagi, perbuatan tersebut juga turut dilakukan oleh orang dewasa yang sepatutnya menjadi contoh untuk golongan muda. Bukan itu sahaja, mengikut pemerhatian dalam media sosial, individu yang terlibat dalam perbuatan sedemikian juga kebanyakannya mempunyai nama dan pangkat dalam masyarakat dan perkara itu lebih menyedihkan.

Kelantangan warganet menggunakan bahasa kasar ini dapat dilihat ketika Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan keperluan pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19. Ia diikuti pula dengan serangan warganet terhadap desakan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkenaan pengeluaran simpanan RM 10,000 dan terbaharu, isu seorang pensyarah yang memperlekehkan seorang pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba menerusi kelas dalam talian.

“Eh makcik ni dulu study ada laptop ke? Geram pulak I”, “I don't care how educated or rich u are, that's not how u speak to ur student,prof.rude!!! Highly educated doesn’t mean u can talk s**t to other people, prof. Begini dapat gelaran "prof" ? Puiiii. Everyone has their own feelings la makcik.klu ya pun cakap bagus-bagus, jangan sampai menghina.Patut duduk je dalam bilik kawan dengan b***k. Tak payah mengajar dah. Dah tua nak. Taubat lah. M*****k” dan pelbagai lagi kata hinaan yang dilontarkan hingga kita selaku warganet hanya mampu menggelengkan kepala dan mengurut dada membaca lontaran kata-kata hinaan yang ditulis. Kewujudan penggunaan bahasa kasar oleh warganet ini berpunca daripada perasaan tidak puas hati seterusnya bahasa kasar digunakan untuk menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masing-masing.

Tidak dinafikan bahawa ledakan teknologi maklumat dan komunikasi tanpa sekatan turut mendorong penggunaan bahasa kasar. Penggunaan bahasa kasar digunakan secara berleluasa dalam kalangan masyarakat tanpa ada sekelumit perasaan bersalah. Penggunaan bahasa kasar tidak wajar dijadikan kebiasaan terutama sekali dalam pertuturan. Walaupun begitu, mereka berpendapat penggunaanya bukanlah sesuatu yang dimaksudkan tetapi hanya digunakan bagi mempamerkan keakraban dalam kalangan rakan-rakan sahaja. Dalam hal ini, mereka seakan-akan sudah terbiasa sehingga tanpa sedar menggunakan bahasa kasar dalam meluahkan dan meninggalkan segala pendapat di media-media sosial.

Jika kita imbas kembali, generasi nenek moyang terdahulu sangat menjaga tutur bicaranya dengan susunan ayat yang teratur dan berlapik penuh kiasan terutamanya dalam menasihati. Mengapakah generasi nenek moyang kita berperilaku sedemikian? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan bagi menjaga air muka dan menghormati lawan bicaranya. Walau bagaimanapun, kini keadaannya sudah jauh berubah. Suka atau tidak, gaya pertuturan negatif dalam kalangan generasi muda semakin menjadi-jadi, malah seperti sudah menjadi makanan ruji mereka.

Keadaan menjadi semakin runcing apabila sikap masyarakat sudah dibaluti pengaruh budaya kebebasan bersuara yang kurang dikawal oleh adab dan kematangan. Sikap sebegini secara tidak langsung telah mencerminkan sudah semakin tipis pertimbangan nilai moral dan adab generasi muda dalam konteks pertuturan harian mereka. Sekiranya keadaan ini berterusan, generasi pada masa hadapan pasti akan hilang rasa hormat terhadap orang sekeliling dan menganggap bahasa kasar sebahagian daripada norma masyarakat. Diharapkan kita sentiasa menjaga tutur kata dan tidak mudah dipengaruhi dengan budaya individualistik yang bertindak tanpa memikirkan emosi orang lain.

Senario penggunaan bahasa kasar dalam kalangan netizen di media sosial perlu dibendung kerana dikhuatiri akan melahirkan generasi yang tidak beradab pada masa depan. ‘Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa’. Setiap masyarakat perlu didikan dan kesedaran dalam menggunakan media sosial agar mereka tidak mengambil kesempatan terhadap kebebasan menggunakan media sosial di negara kita. Jangan hanya slogan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ menjadi kenangan dalam masyarakat Malaysia pada suatu hari nanti.

Bahasa cerminan budaya dan penyatuan bangsa. Bahasa itu sendiri merupakan salah satu kunci perpaduan dalam negara.Selaku warganet, kita seharusnya berubah sejajar perkembangan peradaban manusia tanpa meninggalkan kesopanan dan budi pekerti kemelayuan kita. Nilai murni orang Melayu tidak sepatutnya lenyap dan hilang ditelan oleh kepesatan teknologi. Tepuk dada, tanya selera! — Majoriti

Dr. Azean Idruwani Idrus, Pensyarah Kanan, Fakulti Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti