Pesara TUDM sempat ucap kalimah ALLAH sebelum meninggal dunia ketika solat di masjid Sg Buloh


  • Massa
  • Selasa, 12 Apr 2022

Masjid An-Nur di Saujana Utama, lokasi arwah solat sebelum meninggal dunia.

SEORANG pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan meninggal dunia semasa menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada Isnin malam.

Isterinya, Safaridah Mat Jonet 52, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu, Allahyarham suaminya, Yusri Taib, 51, sempat melafazkan kalimah ALLAH sebelum rebah semasa rakaat kedua dan disahkan meninggal dunia.

"Saya hanya mengetahui arwah suami sudah tiada selepas beberapa jemaah datang ke rumah kira-kira pukul 9.30 malam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Saujana Perdana, Selangor pada Selasa.

Menurut Safaridah, kali terakhir dia bertemu Allahyarham Yusri adalah ketika suaminya itu bersiap untuk ke masjid.

"Kebetulan semalam (Isnin) saya tidak berapa sihat dan tidak dapat mengikut arwah mengerjakan solat Isyak dan tarawih bersama-sama.

"Arwah pesan pada anak bongsu temankan saya di rumah, biasanya kami bertiga berjemaah di masjid," ujarnya.

Katanya, Allahyarham Yusri rajin melaksanakan ibadah dan amat menjaga solat serta kerap ke masjid.

"Arwah seorang yang tidak melengahkan solat dan biasanya ke masjid setiap kali solat Subuh dan Maghrib, manakala mengerjakan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan ini," jelasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram