Ingat boleh lari, polis dedah kaedah tangkapan suspek kes rogol 12 tahun lepas


  • 112
  • Isnin, 11 Apr 2022

Abd Jalil berkata, individu terlibat akan ditahan untuk membantu siasatan jika terdapat padanan DNA. — Bernama

PENAHANAN seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang yang berlaku 12 tahun lepas, adalah kerana padanan dua profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang berada dalam sistem data DNA.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, DNA pertama yang diambil adalah di lokasi kejadian pada 12 tahun lepas yang berstatus tidak diketahui pemiliknya.

Abd Jalil berkata, DNA berkenaan diambil dan dimasukkan dalam sistem berkenaan di bawah Akta Identifikasi DNA 2009 yang membenarkan polis menyimpan data-data DNA yang lepas.

"Berdasarkan akta berkenaan kami boleh simpan DNA dia (suspek kes rogol) dan mengkategorikan DNA suspek di bawah Indeks Orang Yang Disyaki bagi kes lain.

"Profil DNA (suspek) disimpan sehinggalah berlaku sekali lagi tangkapan ke atas individu yang terlibat dalam kes ini pada 12 tahun lepas,” katanya baru-baru ini.

Abd Jalil berkata, ini bermakna mana-mana individu yang melakukan kesalahan lain akan diambil DNA mereka buat kali kedua kemudiannya akan dipadankan dengan DNA yang sedia ada.

"Maka kami memuat naik DNA suspek ke dalam sistem data DNA dan secara automatik sistem berkenaan akan membuat padanan, dapat padanan DNA dengan kes 12 tahun lepas.

"Berdasarkan DNA itu, kami akan membuat analisis dan ia akan menghasilkan profil DNA dalam bentuk numerikal,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana DNA yang mempunyai padanan, individu terlibat akan ditahan untuk membantu siasatan dan langkah terakhir, polis akan menghantar DNA suspek ke Jabatan Kimia untuk menentusahkan sama ada suspek terlibat atau sebaliknya.

Pada 7 April lepas, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, yang berlaku 12 tahun lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

DNA, padanan, rogol, suspek, Jabatan Kimia,