Pintu jadi penghalang, pemandu maut lori terbabas di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 07 Apr 2022

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian. — Facebook

SEORANG lelaki maut selepas lori dipandunya hilang kawalan semasa menuruni kawasan berbukit di kawasan kuari Bukit Penggorak, Jalan Kuantan-Kemaman, Kuantan, Pahang pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Pahang, Asistan Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, dalam kejadian sekitar 11 pagi itu, Ahmad Asrol Ab Rahman, 41, yang beralamat di Kuala Terengganu, Terengganu didapati meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang sedang memandu lori muatan tanah dari kawasan kuari menghala ke arah Gebeng, Kuantan, Pahang dengan menuruni kawasan berbukit itu dan lori dipandunya dipercayai telah hilang kawalan semasa melalui kawasan itu.

"Bagaimanapun mangsa cuba untuk menyelamatkan diri dengan terjun daripada lori itu, namun gagal akibat tersangkut pada pintu pemandu sebelum terbabas ke tebing tanah.

"Akibat kemalangan tersebut mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.



Keadaan lori yang terbabas di kawasan kuari Bukit Penggorak, Jalan Kuantan-Kemaman, Kuantan, Pahang pada Khamis. — Facebook

Hasil siasatan awal turut mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu tersebut yang menyebabkan kematian dan kemalangan berlaku serta siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani dalam satu kenyataan berkata, 11 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng digerakkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram