Bapa maut, anak cedera kereta rempuh pokok di Mukah


  • 112
  • Khamis, 07 Apr 2022

Keadaan kereta dipandu mangsa yang merempuh sebatang pokok di Mukah, Sarawak pada Khamis. — Facebook

SEORANG lelaki maut manakala anak perempuannya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok di Jalan Orang Kaya Setia Raja, Mukah, Sarawak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Supritendan Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari, kereta dipandu Hassan Rajak, 51, sedang bergerak dari arah Kampung Tellian Laut menuju ke Pasar Baru Mukah.

"Ketika sampai di suatu lokasi di Jalan Orang Kaya Setia Raja, Mukah kereta berkenaan telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok. Akibat kemalangan itu pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa mengalami patah tangan kiri, kaki kiri dan luka bahagian kepala manakala anak perempuannya Nursyamimi, 21, tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Mukah untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, sebaik sahaja menerima laporan kemalangan pada 2.14 petang tadi, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah telah digerakkan ke lokasi kemalangan untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan, kendiri, maut, nelayan, anak, terbabas, pokok