Polis selesai siasatan kanak-kanak keluarkan separuh badan ke luar tingkap kereta


  • 112
  • Isnin, 04 Apr 2022

MIOR Faridalathrash ketika melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Ipoh pada Isnin. — The Star

POLIS selesai menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan tiga kanak-kanak mengeluarkan separuh badan ke luar tingkap kereta yang sedang bergerak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis telah pun merujuk kertas siasatan tersebut kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Bapa mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis. Kami kini menunggu keputusan daripada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri.

“Kami menggesa ibu bapa dan penjaga supaya lebih bertanggungjawab terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka,” katanya pada sidang media sempena hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di Ipoh, Perak pada Isnin.

Klip video berdurasi satu minit tiga saat itu tular di media sosial akhir bulan lalu.

Terdahulu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya telah menahan pemandu kereta berusia 37 tahun itu di Sunway City pada 25 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga membahayakan nyawa manusia dan Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak kerana mendedahkan kanak-kanak di bawah jagaan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Mengenai lawatannya ke sekolah itu, beliau berkata, pihak polis mahu memastikan sekolah berkenaan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, ini termasuk memastikan bilik darjah mempunyai pengudaraan yang baik, manakala pelitup muka hendaklah dipakai di premis pada setiap masa.

“Akan ada pemeriksaan berjadual yang dilakukan oleh pegawai perhubungan sekolah kita dan pasukan lain, termasuk kereta peronda dan unit rondaan motosikal.

“Kita juga mahu memastikan trafik berjalan lancar berhampiran kawasan sekolah supaya pelajar selamat,” katanya sambil menambah 250 sekolah menengah di negeri itu pada Isnin menyambut kepulangan pelajar ke sekolah tanpa giliran. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram