Lagi kereta Singapura isi minyak RON95


  • Tular
  • Isnin, 04 Apr 2022

LAGI gambar tular menunjukkan seorang lelaki mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta dengan nombor plat Singapura. — Facebook

BERIKUTAN pembukaan semula sempadan negara, warga Singapura yang memandu kereta tidak melepaskan peluang untuk mengisi minyak di negara ini yang jauh lebih murah berbanding di seberang tambak.

Bagaimanapun terdapat berita kurang enak didengari antaranya kejadian membeli minyak petrol bersubsidi RON95 yang dikhususkan untuk penduduk tempatan sahaja.

Selepas satu gambar seorang lelaki mengisi minyak petrol RON95 ke kenderaan bernombor plat pendaftaran Singapura dipercayai dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Johor, tular baru-baru ini, timbul satu lagi kejadian serupa.

Kali ini dikatakan berlaku di Jalan Pandan, Johor Bahru. Dalam kejadian itu, seorang lelaki dilihat menggunakan nozel kuning untuk mengisi petrol RON95 ke sebuah kenderaan bernombor plat Singapura jenis Mitsubishi.

Perkara itu dikongsikan pengguna Facebook, Ika Atikah pada Ahad dengan turut berkongsi sedikit pengalamannya menegur warga Singapura terbabit, namun tidak diendahkan.

"Bro, hijau saja boleh. Kuning tu untuk kita orang (warga Malaysia)... dah sound setepek tadi tapi dia buat muka langsi.

"Dia cari pump belakang, jadi orang tak perasan," tulisnya.

GAMBAR tular menunjukkan seorang lelaki mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta dengan nombor plat Singapura. — Facebook

Sebelum ini, kejadian serupa itu dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook dengan berkongsikan sekeping gambar seorang individu mengisi petrol RON95 ke kenderaan Nissan bernombor plat Singapura.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan sudah mengarahkan siasatan dilakukan serta merta.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mengarahkan pemantauan lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama berdekatan sempadan negara bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

“Aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran Ops Pantau 2022," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram