Peniaga bengang syarikat kurier tuduh pelanggan curi barang


  • Tular
  • Jumaat, 01 Apr 2022

TANGKAP layar video yang dimuat naik peniaga tersebut mengenai masalah kecurian yang didakwa melibatkan syarikat kurier.

SEORANG peniaga beg tangan meluahkan rasa kecewa dan mendakwa bahawa syarikat kurier J&T telah mencuri barangan yang sepatutnya dihantar kepada pelanggannya.

Menerusi video TikTok yang dimuat naik menerusi akaun bernama Mama Aidan, wanita itu berkata, dia telah menghantar lima buah beg yang dibeli pelanggannya menerusi syarikat kurier tersebut.

Namun, dia mendakwa hanya satu beg tangan sahaja yang sampai ke tangan pelanggan manakala selebihnya telah hilang dan terdapat kesan koyak besar serta tampalan baharu pada bungkusan tersebut.

"Kenapa J&T Malaysia sekarang bermasalah sangat untuk buat kerja. Kalau nak curi beg tangan sekalipun jangan buat kami macam ini. Pelanggan bayar kami untuk barangan mereka.

"Siapa yang kenal wakil J&T tolong maklum pada mereka sebab apa yang berlaku ini sudah melampau," tegasnya.

Menerusi satu lagi video TikTok, wanita itu berkata, dia juga telah bertemu dengan J&T untuk mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa seolah-olah pelanggannya sendiri yang tidak mengaku bahawa kesemua barangan telah sampai.

Jelasnya, syarikat kurier itu juga memaklumkan yang memang satu tampalan baharu juga akan dibuat bagi setiap barangan yang dihantar.

"Sedangkan dekat bungkusan tu pelanggan dah tunjuk yang dia tak buka lagi bungkusan dengan kesan tampalan dari koyakan yang dibuat J&T.

"Jadi sekarang saya perlu buat satu lagi aduan di ibu pejabat syarikat kurier itu dan perlu menunggu selama dua minggu untuk proses tuntutan semula barangan yang hilang," katanya.

Sementara itu, tinjauan Majoriti di ruangan komen juga mendapati kes sama juga pernah berlaku sebelum ini dan ada yang mengambil masa berbulan-bulan untuk diselesaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram