Sujud syukur, lagu Negaraku pengubat rindu lepas 2 tahun berpisah


  • Massa
  • Jumaat, 01 Apr 2022

HAFIZ menitiskan air mata dan melakukan syujud syukur selepas merentas sempadan darat Malaysia-Singapura. — Bernama

MALAYSIA mengalu-alukan kumpulan pertama anak perantau dari seberang Tambak ulang ke tanah air susulan pembukaan semula dua sempadan darat di Johor Bahru, Johor bermula 1 April 2022.

Selepas detik 12 tengah malam, berpuluh-puluh orang kelihatan keluar dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kedua-dua Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Johor.

Kepulangan anak perantau turut disambut oleh Exco kerajaan negeri di kedua-dua CIQ di Johor.

Di BSI, PengerusiJ awatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilihat mengalu-alukan kedatangan warganegara yang pulang ke tanah air.

Sementara itu, di KSAB, kepulangan mereka disambut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh.

Mohd Jafni turut meluangkan masa kira-kira setengah jam memantau kawasan itu bersama-sama pihak berkuasa sebelum menyampaikan cenderahati kepada mereka yang melalui kaunter imigresen.

Ahli keluarga juga dilihat tidak sabar menunggu kepulangan insan tersayang berhampiran dua bangunan itu seawal jam 11 malam Khamis (31 Mac 2022).

Sebahagian mereka juga menunggu sempadan dibuka semula selama berjam-jam di CIQ, Johor Bahru untuk ke Singapura.

Di pusat pemeriksaan Woodlands kurang sejam sebelum pembukaan semula sempadan negara, beribu-ribu orang beratur untuk memasuki Malaysia.

"Welcome back” dan "selamat kembali ke Malaysia”, antara kalimat yang dilaungkan anak perantau serta disambut dengan percikan bunga api dan nyanyian lagu Negaraku.

Air mata turut mengiringi kepulangan anak perantau termasuk seorang anak jati Johor asal Batu Pahat, Johor, Hafiz Atan yang melakukan sujud syukur di satu persimpangan jalan selepas dua tahun tidak pulang ke kampung halaman. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram