KEKURANGAN bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran sejak sebulan lepas disebabkan pembelian oleh 'golongan kayangan’ khususnya T20 dan M20.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, minyak paket berkenaan sepatutnya hanya digunakan untuk golongan berpendapatan rendah iaitu B40.
Katanya, kerajaan perlu berbelanja besar dengan memperuntukkan 60,000 tan minyak paket sebulan dengan subsidi yang diberikan setiap kilogram (kg) minyak adalah antara RM2.50 sehingga melebihi RM3 bergantung kepada harga semasa.
"Kerajaan perlu berbelanja besar untuk barangan bersubsidi contohnya minyak paket bagi 1kg dijual pada harga RM2.50, harga semasa adalah RM5 atau RM6. Untuk 1kg kerajaan terpaksa menanggung kos melebihi RM3,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout Pemantauan Pembukaan Sempadan Negara Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya turut mengenal pasti, peniaga kedai makan dan restoran yang menggunakan minyak berkenaan hingga menyebabkan kekurangan bekalan minyak bersubsidi itu.
"Kebanyakan peniaga dikesan menggunakan minyak paket ini. Sekiranya pihak kami ingin menjalankan siasatan dan melaksanakan penguatkuasaan mereka akan menggunakan minyak mahal dan secara tidak langsung akan menjual barangan niaga lebih mahal.
"Isu ini bukan hanya berlaku di Kelantan, tetapi termasuk di Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya. Kalau tahun lepas isu ini didakwa berkait dengan kelewatan bayaran kepada syarikat pembungkusan semula yang lambat menyebabkan aliran tunai bermasalah tetapi kita sudah bayar jadi tiada isu lagi,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kekurangan minyak paket berkenaan turut berpunca daripada Program Jualan Keluarga Malaysia, Rosol berkata, untuk program berkenaan ia hanya melibatkan satu atau dua syarikat pembungkusan semula.
"Sedangkan setiap negeri ada lima sehingga enam syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi, jadi itu tidak ada isu. Apa yang kita tidak mahu, minyak berkenaan dibawa ke negara jiran,” katanya menambah penguatkuasaan dengan pasukan keselamatan terus dipergiatkan bagi mencegah barangan bersudsidi diseludup ke negara jiran. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram