Kes anak yatim maut angkara RM4, remaja 16 tahun didakwa


SUSPEK ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuantan bagi menghadapi tuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia 11 tahun pada 20 Mac lepas. — Astro Awani

SEORANG remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan membunuh rakannya di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin di Kuantan, Pahang pada 20 Mac lalu.

Remaja 16 tahun itu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap rakannya berusia 11 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin di Jalan Pantai Sepat di Kuantan, antara pukul 3.45 hingga 4.15 petang pada 20 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon manakala remaja terbabit diwakili peguam Datuk Mohd Najib Husain.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior disebabkan wang RM4 di bangunan surau asrama berkenaan.

Mangsa dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek sehingga tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dalam sidang media pada 25 Mac lalu memaklumkan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan hentakan di kepala. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram