Berdepan hukuman mati, Yasin Sulaiman tidak dibenar diikat jamin


YASIN ditahan bersama 17 pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya. — Sinar Harian

YASIN Sulaiman, 47, yang didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada pagi Khamis atas pertuduhan menyimpan dan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah.

Mengikut pertuduhan, penyanyi dan komposer berkenaan didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja sebera kira-kira 214 gram yang mana kesalahan itu dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di Petaling Jaya pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Tiada rekod pengakuan daripada pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Pertuduhan pertama itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati, atau disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala, dalam prosiding berlainan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin, pelantun lagu 'Mimpi Laila' itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah merah yang mana daripanya kanabis (ganja) yang diperolehi sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi kedua-dua prosiding, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohammad Al-Saifi Hashim dan TPR Asnawi Abu Hanipah manakala Muhammad Yasin diwakili peguam Yusmaidi Yusoff.

Terdahulu, media melaporkan melaporkan pihak polis menahan penyanyi nasyid itu kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, di Petaling Jaya.

Kegiatan itu berjaya dikesan menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Selepas serbuan itu, pada Jumaat, Yasin yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah 10 tahun lepas itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram