Kes tanam 17 pokok ganja, Yasin Sulaiman didakwa dua pertuduhan


YASIN ditahan bersama 17 pokok ganja, yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya. — Sinar Harian

YASIN Sulaiman tiba di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, pada jam 10 pagi Khamis bagi menghadapi pertuduhan kes berkaitan dadah selepas dia ditahan kerana menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, minggu lalu.

Penyanyi dan komposer berusia 47 tahun itu hadir di mahkamah dengan memakai baju T hitam dan diiringi pasukan polis.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman didakwa atas dua pertuduhan tanam 17 pokok ganja dan edar 214 gram dadah.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pertuduhan di mahkamah dibuat selepas polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Menurutnya, suspek ditahan bersama 17 pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, di Petaling Jaya.

Dalam serbuan tersebut, polis menemukan pokok ganja milik penyanyi itu terletak dalam pasu di almari, di dapur dan di dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai pokok ganja dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,200.

Minggu lalu, media melaporkan, penyanyi itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dadah, yang dipercayai dijalankan hampir dua bulan.

Kegiatan itu berjaya dikesan menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Selepas serbuan itu, pada Jumaat, Yasin yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah 10 tahun lepas itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram