Menteri Umno jawab spekulasi Langkah Sheraton 2.0


  • Politik
  • Sabtu, 26 Mac 2022

ANTARA Menteri Umno yang dilihat hadir ke hotel berkenaan iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim. — Sinar Harian

TINDAKAN beberapa menteri daripada Umno yang mengadakan perjumpaan di sebuah hotel mewah di Putrajaya pada pagi Jumaat mencetuskan spekulasi satu lagi "Langkah Sheraton" akan berlaku seperti tahun 2020.

Mereka bagaimanapun menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa sebilangan daripada mereka sememangnya sering makan tengah hari bersama selepas mesyuarat Kabinet.

Salah seorang menteri, yang turut hadir ke perjumpaan itu menjelaskan bahawa segelintir daripada mereka biasanya akan berkumpul untuk makan tengah hari selepas mesyuarat Kabinet.

“Hari ini (Jumaat), kami mengambil keputusan untuk bersarapan pagi kerana mesyuarat bermula lewat.

“Lagipun, kami tidak boleh makan tengah hari kerana hari ini hari Jumaat. Kami harus pergi solat Jumaat sejurus selepas mesyuarat,” kata menteri itu.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bermula jam 10 pagi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi tetamu kehormat pada sambutan Hari Polis ke-215 sebelum itu.

Mesyuarat mingguan itu biasanya diadakan pada Rabu, tetapi ditukar kepada hari Jumaat ketika Parlimen sedang bersidang.

Menteri berkenaan berasa lucu apabila terdapat pihak yang mencetuskan spekulasi mengenai pertemuan singkat antara anggota-anggota Kabinet itu.

“Jangan terlalu fikirkannya. Tak ada apa-apa,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bersependapat dengan berkata, beliau dan rakan-rakan Kabinet sering makan bersama selepas mesyuarat Kabinet.

“Hari ini saya datang lambat. Saya berada di sana hanya dua minit dan kemudian kami terpaksa bertolak untuk sesi Kabinet,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menafikan perjumpaan itu adalah mesyuarat sulit.

“Bila mesyuarat itu? Tiada perbincangan mengenai pembubaran Parlimen. Tidak ada mesyuarat pun,” katanya memetik laporan sebuah akhbar.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut tertawa apabila disoal mengenai spekulasi tersebut.

“Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) yang belanja sarapan pagi itu. Ia tidak ada kena mengena dengan pembubaran Parlimen.

"Kami hanya sudah lama tidak bertemu, jadi kami putuskan untuk berjumpa," katanya.

Antara Menteri Umno yang dilihat hadir adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Selain Perdana Menteri, terdapat 10 lagi Menteri dari Umno dalam Kabinet termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang merupakan salah seorang daripada empat Menteri Kanan, dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan menolak spekulasi yang mengatakan menteri-menteri berkenaan berkumpul secara rahsia.

"Kumpulan yang menggesa PRU15 diadakan awal adalah berbeza daripada kumpulan yang hadir untuk sarapan pagi," katanya.

Bagaimanapun, Azmi tidak menolak kemungkinan kegagalan pembentangan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) menjadi topik perbincangan sesama mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang membentangkan usul itu mendakwa, Ahli Parlimen Kerajaan sengaja meninggalkan Parlimen apabila undi blok dibuat.

Tegas Azmi, Hamzah diketahui tidak mempunyai hubungan baik dengan Umno kerana menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018.

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, ramai ahli yang mahukan supaya PRU diadakan dalam masa terdekat. Gesaan itu semakin kuat selepas usul Sosma ditolak.

Ketika proses undian, 86 Ahli Parlimen mengundi menentang usul itu, 85 menyokong manakala 49 lagi Ahli Parlimen tidak hadir. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram