Sofia Raniya tersalah naik van, bukan diculik — Polis


  • 112
  • Khamis, 31 Mac 2022

SOFIA Raniya ditemukan di The Holmes pada pukul 9.35 malam Rabu dan dihantar ke IPD Cheras untuk diambil keluarganya. — Polis KL

POLIS menolak kemungkinan wujud unsur penculikan melibatkan kejadian seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1 di Cheras, Kuala Lumpur yang dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah sebelum ditemui selamat pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan mendapati tiada unsur kanak-kanak tersebut diculik.

"Siasatan dijalankan mendapati kanak-kanak berumur lapan tahun itu dipercayai telah tersalah menaiki sebuah van sekolah.

"Van sekolah tersebut kemudian menurunkan kanak-kanak berkenaan di sebuah kondominium, dalam perkara ini, tiada sebarang unsur culik yang kita siasat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Polis Kuala Lumpur pada Khamis.

Katanya, pihaknya turut menasihati agar pengusaha van atau bas sekolah meletakkan tanda tertentu pada kenderaan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Suasana sekarang ini, seperti yang kita semua sedia maklum, kita dalam tempoh yang agak lama menghadapi pandemik Covid-19, sekarang ini baru mula semula sesi persekolahan.

"Jadi bila sudah lama, akan berlaku kekeliruan, jadi saya harap ada pendekatan oleh pihak pengusaha bas atau van sekolah untuk meletakkan tanda pada kenderaan mereka," katanya.

Terdahulu, Polis Kuala Lumpur menerusi Facebook memaklumkan kanak-kanak itu, Sofia Raniya ditemukan di The Holmes pada pukul 9.35 malam Rabu dan dihantar ke IPD Cheras untuk diambil keluarganya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram