Pengasuh, suami didakwa bunuh Eric Chang


KEDUA-DUA suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak atas tuduhan membunuh Eric Chang, 4 tahun. — The Star

SEORANG pengasuh dan suaminya didakwa membunuh Eric Chang Wei Jie, 4, yang dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu.

Difahamkan, tiada pengakuan direkodkan daripada Wendy Chai Xue Zhen, 36, dan Ling Kok Liang, 51, ketika mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching pada Khamis.

Majistret, Zaiton Anuar menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan lanjut.

Mengikut kertas pertuduhan, Xue Zhen dan Kok Liang didakwa membunuh Eric di sebuah rumah di Taman Riverview di Bintawa, Sarawak antara pukul 5 petang pada 4 Mac dan 9.15 pagi pada 7 Mac.

Pasangan itu ditahan pada 9 Mac selepas ibu Eric melaporkan kehilangan anaknya pada 7 Mac.

Pada 13 Mac, siasatan pada mulanya dilakukan kerana pengabaian di bawah Akta Kanak-Kanak tetapi diklasifikasikan semula sebagai kes pembunuhan.

Sebelum itu, polis turut melancarkan operasi mencari Eric pada 13 Mac selepas suspek memberitahu bahawa mayat budak itu telah dibuang ke dalam sungai di Muara Tebas, Kuching, Sarawak.

Operasi mencari itu bagaimanapun dihentikan pada 19 Mac lalu kerana tidak menemukan sebarang petunjuk baharu berkaitan mangsa.

Pada Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kes itu dianggap selesai dengan pertuduhan dilakukan terhadap suspek.

Beliau berkata, polis menemukan sebuah kereta, tiga telefon bimbit, beberapa rakaman CCTV, pakaian dan barangan lain berkaitan kes itu.

"Ini kes tragis melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang sepatutnya dijaga oleh pengasuhnya tetapi menjadi mangsa,” katanya.

Ahsmon turut meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekluasi berkaitan dengan kes tersebut.

"Kes ini tiada kaitan dengan pengambilan organ kanak-kanak atau membalas dendam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram