Kami tidak guna perkhidmatan van — Ibu Sofia Raniya


  • 112
  • Khamis, 31 Mac 2022

KANAK-KANAK itu ditemui di Bandar Tun Razak, Cheras, di Kuala Lumpur. — Facebook Polis KL

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang tular di media sosial kerana dipercayai hilang dari sekolah di Kuala Lumpur pada petang Rabu, ditemui selamat.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar pada malam Rabu.

Muhammad Idzam berkata, kanak-kanak itu ditemui di Bandar Tun Razak, Cheras, di Kuala Lumpur.

Ketika ini, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sedang mengambil keterangan ibu kanak-kanak itu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan Sofia Raniya yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah 1, Cheras, selepas ibunya tidak menemui kanak-kanak itu di sekolah semasa mahu mengambilnya petang Rabu.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan Ryana Mohd Nor, 41, menafikan dakwaan bahawa anaknya tersilap menaiki van sehingga dilaporkan hilang, kerana mereka tidak pernah menggunakan perkhidmatan pengangkutan tersebut untuk ke sekolah.

"Setiap hari saya atau ahli keluarga yang lain akan menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah, kami tidak menggunakan perkhidmatan van,” katanya pada malam Rabu.

Sebaliknya, Ryana mendedahkan anaknya memberitahu dia telah diminta oleh seorang lelaki untuk menaiki sebuah van, sebelum kemudian meninggalkannya lobi sebuah pangsapuri.

Ryana berkata, beliau menerima panggilan daripada pihak polis pada 9.30 malam Rabu, memberitahu anak perempuannya telah ditemui dalam keadaan selamat.

"Saya difahamkan polis menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk di pangsapuri berkenaan, melaporkan mengenai seorang kanak-kanak yang ditinggalkan seorang diri di lobi pangsapuri berkenaan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada polis serta semua pihak yang membantu menghebahkan kehilangan anaknya itu, sehingga berjaya ditemui dalam keadaan selamat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram