Buat laporan polis dakwa tertipu, pokok ganja rupanya tanaman hiasan


  • Benua
  • Khamis, 31 Mac 2022

ADUAN berhubung penipuan pembelian pokok ganja itu dibuat lelaki terbabit ke SPKT Polis Palembang. — Agensi

TINDAKAN seorang pemandu teksi motosikal di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia melaporkan pembelian tanaman ganja palsu kepada polis mengundang padah apabila dia disoal siasat pihak berkuasa berkenaan.

Lelaki itu tanpa rasa bersalah datang ke balai polis untuk melaporkan bahawa dia menjadi mangsa penipuan kerana pokok ganja yang dibeli rupanya tanaman hiasan.

Menerusi satu video yang tersebar, lelaki itu mendakwa ditipu ketika membeli ganja di kawasan 7 Ulu, Seberang Ulu 1, Palembang.

Dia mengaku sering diminta seseorang membeli ganja di kawasan tersebut.

“Biasanya bagi 50 (Rp 50,000) (RM14.65) setiap hari, kami naik teksi, pak,” kata lelaki dalam video itu.

Lelaki itu kemudian diminta menunjukkan daun tanaman hiasan yang diterimanya.

“Di manakah anda biasanya membeli ganja, encik?” tanya seseorang dipercayai anggota polis dalam video tersebut.

"Selalunya beli ganja di 7 Ulu. Kami tertipu, tuan, datang ke sini untuk melaporkan penipuan ini," kata lelaki itu.

Lelaki itu kemudian ditanya sama ada dia tahu ganja adalah sejenis dadah sehingga dilarang untuk dijual beli.

"Ganja adalah dadah atau tidak?" seseorang bertanya kepada lelaki itu lagi.

Lelaki itu diam namun belum sempat dia menjawab, dia terus diajukan beberapa soalan.

"Bolehkah saya menggunakan ganja?" seseorang bertanya kepada lelaki itu lagi.

"Berapa kali awak telah menggunakan dadah?" tambah lelaki lain.

“Sekali ini sahaja,” jawab pemandu teksi motosikal yang mendakwa menjadi mangsa penipuan itu.

Penjelasan polis

Sementara itu, polis Palembang tidak menafikan kejadian dalam video tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Narkotik Polis Palembang, Komisaris Mario Invanry, kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu.

“Ya, betul, kejadian pada Isnin,” kata Mario ketika diminta pengesahan seperti dipetik portal Detik.com pada Rabu.

Mario berkata, pihaknya terkejut apabila video tersebut tiba-tiba menjadi tular.

Lelaki itu, katanya, pada mulanya ingin melaporkan kejadian penipuan kepada Sentral Pelayanan Kepolisian Terpadu (SPKT) Polis Palembang.

Bagaimanapun, apabila diteliti dan hasil siasatan, ternyata lelaki itu mengalami gangguan mental.

"Ketika dia nak lapor di SPKT. Tapi lepas kita siasat, rupa-rupanya dia stres (mengalami gangguan mental)," jelas Mario. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram