Lelaki Sabah lapah penyu, potong organ bernilai ribuan ringgit untuk pasaran gelap


  • 112
  • Rabu, 30 Mac 2022

SEBAHAGIAN daripada organ penyu yang dirampas PPM pada Selasa. — Ihsan PPM Sabah

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai organ penyu yang sudah dipotong-potong di dalam ruangan sebuah perahu di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah pada Selasa.

Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pihaknya ke lokasi kejadian pada 10 pagi dan menghampiri sebuah perahu yang berikat di tiang sebuah rumah sebelum menemukan suspek berumur 31 tahun dalam keadaan mencurigakan.

"Kemudian, pemeriksaan ke dalam ruangan perahu menemukan 25 keping sisik marginal penyu (RM3,500), 13 keping plastron (kulit bahagian dada) penyu (RM13,000) dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melapah penyu antaranya pisau, kapak serta tukul," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad berkata, suspek dan rampasan peralatan serta perahu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna dan kes itu dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram