KETIKA seorang gadis dari Papar, Sabah mencuri perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai semasa majlis konvokesyen di sebuah universiti di United Kingdom baru-baru ini, nasib berbeza menimpa seorang graduan sebuah universiti tempatan.
Gadis itu yang menggunakan nama Cozanne di aplikasi TikTok meluahkan rasa kecewa kerana pakaian tradisional etnik Kadazan yang dikenakannya telah dipertikaikan oleh pihak universiti.
"Mereka mempersoalkan kenapa saya memakai skirt yang tidak sesuai untuk majlis konvokesyen," tulisnya dalam video pendek yang dikongsikan di aplikasi tersebut.
BAHAGIAN skirt pakaian tradisional Kadazan yang dikenakan Cozanne dikatakan terlalu seksi. — TikTok
Cozanne mendakwa dia hampir tidak dibenarkan memasuki dewan graduasi kerana belahan pada bahagian skirt pakaian tradisional itu dikatakan terlalu mencolok mata.
"Belahan pada skirt ini dikatakan terlalu seksi dan boleh menampakkan lutut serta paha apabila berjalan," katanya.
Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah universiti tempatan ternama di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pengguna TikTok menggunakan nama @boogy berkata, situasi yang menimpa Cozanne adalah satu bentuk mikroagresi (microaggresion).
KOMEN yang ditinggalkan @boogy terhadap situasi yang dihadapi Cozanne.
Istilah itu merujuk kata-kata atau komentar atau tingkah laku sama ada disengajakan atau tidak, yang menghina atau secara negatif menyasarkan kelompok terpinggir.
"Kata-kata itu tidak menyakitkan anda secara fizikal tetapi memperkecilkan anda sebagai individu daripada etnik minoriti," katanya.
Sebelum ini, Nur Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun dari Papar menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom.
NUR Liyana Razali bersama keluarganya ketika di majlis konvokesyen di UK. — Bernama
Anak pertama daripada tiga beradik berketurunan Brunei-Murut itu menjadi bualan apabila gambarnya berpakaian tradisional itu berserta jubah dan mortar-board ketika mengambil ijazah tersebut pada 20 Mac lepas, tular di media sosial terutama dalam kalangan warganet dari Sabah.
Dalam pada itu, Majoriti juga cuba mendapatkan penjelasan pihak universiti terbabit berhubung perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram