Insiden pukul di 7E, Prasarana akan ambil tindakan


  • Primer
  • Selasa, 29 Mac 2022

TANGKAP layar video tular yang menunjukkan seorang kakitangan Prasarana memukul seorang pemuda di sebuah kedai serbaneka.

PRASARANA memandang serius video tular yang memaparkan seorang lelaki dipercayai kakitangannya memukul seorang pemuda di sebuah kedai serbaneka 7-Eleven yang tular di media sosial pada Selasa.

Pihaknya dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, tindakan lelaki itu adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana dan pihaknya telah melancarkan siasatan serta-merta ke atas insiden berkenaan.

“Dipercayai, kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.

"Bagaimanapun, tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana. Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, tarikh, masa serta lokasi kejadian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

Jelasnya, siasatan dalaman sudah dilancarkan dan pihaknya menyeru saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi talian 03-7885 2585, atau emel ke [email protected].

Prasarana turut memohon maaf atas kejadian tersebut dan memberi jaminan pelaku akan dikenakan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang pada masa depan.

Majoriti pada Selasa melaporkan satu insiden melibatkan kakitangan Prasarana dan juga seorang anggota polis yang dilihat menggunakan kekasaran terhadap seorang lelaki kerana didakwa mencuri barang daripada kedai serbaneka itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram