SEORANG pemandu van sekolah dipukul dan dimarahi oleh seorang lelaki kerana didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan di dalam kenderaannya.
Perkara itu dikongsi oleh pengguna Facebook, Tuan Amir Danau yang merupakan bapa kepada kanak-kanak tersebut pada Rabu.
Menurutnya, dia berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila anaknya meminta supaya orang lain menghantarnya ke sekolah dan menyifatkan pemandu van itu sebagai 'mencurigakan'.
"Malam tu aku suruh bini aku jumpa anak perempuan aku ni, tanya dia apa dah jadi. Sembang punya sembang, bini aku jumpa aku. Bini aku cakap driver sekolah ni memang dah melebih-lebih. Anak aku takut nak bagitau dekat aku katanya.
"Aku panggil anak aku, aku suruh cerita. Menangis-nangis dia cerita. Katanya dia orang pertama yang driver ni ambil jam 6.20 pagi. Mula-mula dia duduk belakang. Lepas tu driver ni suruh duduk depan.
"First day dia tanya nama dulu, dia cakap anak aku ni comellah, cantiklah, dia cubit-cubit pipi. Esok tu dia start lain, dia start pegang tangan. Dia gosok-gosok, ramas-ramas tangan anak aku. Lepas tu siap tepuk-tepuk peha anak aku, siap dia tunduk rapatkan muka ke peha anak aku masa tu.
"Dia kata jangan risau. Tiada apa-apa pun. Dia tanya anak aku, ada nombor Whatsapp tak? Dia bagi keychain ada nombor Whatsapp dia. Dia kata nanti addlah. Siap bagi air kotak. Dia janji esoknya nak bagi coklat cadbury pula," katanya.
Mendengar cerita anaknya itu, Tuan Amir berasa amat marah dan menghubungi seorang lagi pemandu van lain yang mengakui bahawa pemandu itu mempunyai sejarah kes gangguan seksual sebelum ini, termasuk terhadap ibu pelajar.
Keesokan harinya, dia nekad berhadapan dengan pemandu itu keesokan harinya bagi mendapatkan penjelasan dan memberi 'pengajaran' kepadanya.
Setelah bertemu pemandu tersebut, Tuan Amir menyoal pemandu tersebut yang berulang kali menafikan perkara itu sebelum dipukul dan akhirnya mengakui dia melakukan perkara itu.
Walaupun mengakui tindakannya memukul pemandu itu salah, katanya, dia mahu memberi peringatan kepada pemandu tersebut dan menunjukkan kepada ibu bapa di luar sana supaya berani mempertahankan anak apabila perkara sedemikian berlaku.
"Aku pukul tak melebih pun, lebih pada peringatan pada dia. Sebab tu aku handle benda alah ni sorang-sorang, tak panggil orang lain. Niat aku memang untuk pengajaran dia. Dan untuk bukak mata pada semua ibu bapak luar sana, kalau bukan kita yang pertahankan anak-anak kita, siapa lagi anak kita nak berharap?
"Apalah sangat kena denda, kena tahan, jika nak bandingkan dengan trauma yang anak aku akan hadap. Maruah anak aku lagi. Sekurang-kurangnya anak aku tahu, aku bapak dia yang tetap akan ada pertahankan dia kalau ada orang cuba-cuba ambik kesempatan pada dia," katanya.
Dia turut mengingatkan ibu bapa di luar sana supaya peka dengan isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan mendidik anak mereka tentang perkara itu
Tambah Tuan Amir, dia sedang dalam perjalanan untuk melakukan laporan polis dan berharap orang ramai dapat mengambil pengajaran daripada kejadian itu.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan reaksi Tuan Amir, selain menunggu pengesahan polis berhubung dakwaan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram