Ajak pancing alasan rakan sepupu lakukan amang seksual budak 8 tahun


  • 112
  • Selasa, 29 Mac 2022

MANGSA menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia 33 tahun yang kemudian membuat laporan polis pada Selasa. — Gambar Hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dipercayai beberapa kali menjadi mangsa amang seksual fizikal yang diperlakukan seorang rakan kepada sepupunya di tepi tali air di belakang sebuah rumah di Kampung Telok Merbau Perupok di Bachok, Kelantan.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar seminggu lalu terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia 33 tahun yang kemudiannya membuat laporan polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, pengadu diberitahu oleh anak perempuannya semasa sedang bermain dengan seorang sepupu perempuan berusia tujuh tahun di belakang rumah neneknya, apabila datang seorang lelaki tidak dikenali dalam lingkungan umur 20 tahun dengan tiba-tiba memegang tangannya.

“Suspek mengajak mangsa untuk pergi menangkap ikan di tali air belakang rumah namun tidak mengajak sepupu mangsa dengan alasan dia masih kecil.

“Semasa berada di tali air, suspek bertindak memeluk mangsa dari arah belakang dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa,” katanya kepada pemberita di Bachok pada Selasa.

Ujar beliau, mangsa kemudian bertindak melarikan diri daripada suspek dan kembali bermain dengan sepupunya.

Mohamad Ismail menambah, kejadian itu berulang keesokan harinya di lokasi sama dan mangsa menceritakan hal tersebut kepada sepupunya sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pengadu iaitu ibu mangsa.

“Mangsa tidak mengenali suspek namun sering melihat suspek di rumah neneknya kerana suspek adalah rakan kepada sepupunya yang lain,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Susulan itu, suspek lelaki yang berusia 20 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula pada Selasa sehingga Isnin ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK) 2017,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram