Bahasa Melayu dalam urusan rasmi, beri implikasi positif kepada negara


  • Massa
  • Ahad, 27 Mac 2022

PARA pelajar luar negara mengikuti pembelajaran kelas Bahasa Melayu di Kolej Universiti KDU Penang, Jalan Anson, George Town, Pulau Pinang. — The Star

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk dalam pelaksanaan mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

Penegasan yang dilakukan oleh Ismail Sabri melambangkan keseriusan negara ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selari dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Arahan yang dikeluarkan oleh beliau itu bukan sahaja perlu diguna pakai oleh semua penjawat awam malahan syarikat-syarikat swasta turut tidak terkecuali dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa ibunda itu.

Menurut seorang tenaga pengajar pendidikan, Mohd Norazizi Samsudain, pendirian kerajaan berkenaan perkara itu sememangnya memberi implikasi positif kepada negara ini sementelah kebanyakan generasi kini seolah-olah memandang enteng terhadap kebolehpasaran bahasa berkenaan pada peringkat global.

"Bukan itu sahaja, Ismail Sabri menegaskan pendirian tersebut dengan menyatakan segala surat rasmi yang akan diberikan kepada negara luar juga akan menggunakan Bahasa Melayu di samping terdapat terjemahan Bahasa Inggeris.

"Sama sekali tidak menjadi kesalahan kepada semua lapisan masyarakat untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Inggeris namun dalam usaha mengekalkan identiti negara ini, Bahasa Melayu perlu disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri meskipun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

"Dalam hal ini, semua pihak bermula dengan generasi di sekolah sehinggalah barisan kepimpinan negara perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan Bahasa Melayu lantaran menyebabkannya tidak lapuk ditelan oleh zaman kemajuan teknologi ini.

"Sebagai contoh, usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Melayu ketika persidangan antarabangsa pada November 2021 di Glasgow, Scotland perlulah menjadi batu asas kepada orang ramai," katanya.

Screenshot 2022-03-27 124808

ISMAIL Sabri turut memaklumkan surat rasmi kerajaan yang dihantar ke negara luar menggunakan Bahasa Melayu bersama terjemahan Bahasa Inggeris. — Bernama

Tambahnya, penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi juga bertepatan dengan sifat bahasa itu sendiri yang digunakan bagi tujuan perpaduan rakyat.

"Kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri.

"Namun, pemupukan perpaduan ini dapat dicapai apabila setiap daripada rakyat memahami makna komunikasi yang disampaikan dalam sesuatu urusan itu.

"Bahasa Melayu ialah bahasa ilmu yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan etnik.

"Justeru, penggunaannya sama sekali jelas tidak akan mendatangkan ketidakfahaman dalam kalangan masyarakat mesikupun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

"Situasi ini sering kali dilihat apabila pengamal berita menyiarkan laporan berbahasa Melayu yang menyebabkan pelaporan itu boleh dibaca ataupun didengari oleh semua masyarakat di negara ini tanpa sebarang prejudis dan menimbulkan salah faham.

"Perkara ini juga dilihat memberi manfaat yang besar ketika rakyat menjalankan urusan di kaunter perkhidmatan kerajaan," ujarnya.

Mohd Norazizi turut menafikan penggunaan Bahasa Melayu secara menyeluruh di peringkat lokaliti atau global boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri.

"Perkara tidak berasas ini sepatutnya tidak timbul kerana banyak negara maju yang boleh dijadikan contoh termasuk negara pengeluar seperti Jepun.

"Sepatutnya rakyat di negara ini perlu membuka mata sebab-sebab pendatang asing boleh mempelajari bahasa kebangsaan itu dengan mudah.

Malahan mereka berasa bangga apabila dapat berkomunikasi dengan rakyat negara ini menggunakan Bahasa Melayu dengan begitu baik.

"Sebaliknya, rakyat yang sedia kala memiliki bahasa itu pula yang terikut-ikut bahasa mereka misalnya yang berlaku di stesen minyak dan restoran-restoran.

"Penegasan untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan rakyat terus mewujudkan rasa cinta di samping memastikan bahasa ibunda itu terus dimartabatkan oleh semua lapisan masyarakat baik di desa mahupun kawasan bandar.

"Jangankan pula satu hari nanti kita diibaratkan seperti menang sorak kampung tergadai," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram