DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menukar terma Ketua Menteri kepada Premier.
Bagaimanapun, keputusan itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet khususnya.
Ada yang memberi komen bahawa penukaran gelaran itu tidak penting dan sebaliknya ada perkara lebih mustahak patut diberi tumpuan oleh kerajaan Sarawak.
Sependapat dengan pandangan warganet, bekas Ketua Pengarang New Strait Times, Abdul Kadir Jasin berkata, sekadar menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier tidak berguna jika perkara lain bersangkut-paut dengan kehidupan rakyat tidak bertambah baik.
"Sarawak dan Sabah sekarang tengah beria-ria hendak berlainan daripada Semenanjung Malaysia atas alasan autonomi. Kita sedar dan sedikit sebanyak, kita faham aspirasi mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Abdul Kadir, tindakan Sarawak itu menunjukkan pentadbiran negeri tersebut keliru dengan penggunaan bahasa yang digunakan.
"Sekarang Sarawak nak 'stylised' Ketua Menteri menjadi Premier. Tapi Premier itu Bahasa Inggeris. Adakah dalam Bahasa Melayu pun, mereka hendak guna Premier juga?
"Di Malaysia ini, ramai orang suka nama orang Barat dan Arab. Tak faham kepala ekor tak apa, asalkan nampak bergaya.
"Lepas ini, janganlah hairan kalau negeri-negeri lain pun nak tiru Sarawak dengan menukar gelaran Menteri Besar dan Ketua Menteri mereka.
"Inilah jadinya apabila kerajaan Pusat lemah dan Perdana Menteri tidak dihormati. Negeri-negeri pun naik tocang," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram