Fokus pelaksanaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi — Cuepacs


  • Massa
  • Ahad, 27 Feb 2022

ISMAIL Sabri memaklumkan Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan rasmi negara. — Bernama

LANGKAH berani diambil oleh kerajaan untuk menggunakan Bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk semasa lawatan kerja di luar negara, merupakan usaha yang bersungguh-sungguh bagi memartabatkan semula Bahasa Melayu.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat, perkara itu bukan suatu masalah kerana seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kecanggihan teknologi ketika ini tidak menghalang untuk bahasa diterjemahkan dalam tempoh yang singkat.

"Jika negara lain boleh melakukannya, mengapa kita perlu banyak alasan untuk melaksanakannya. Cuepacs berharap kerajaan bertegas dalam melaksanakan cadangan ini terutamanya melibatkan urusan rasmi di dalam negara sendiri.

"Penggunaan Bahasa Melayu dalam apa jua urusan rasmi kerajaan di dalam negara wajar dilakukan terlebih dahulu sekiranya mahu ia dilaksanakan secara meluas di luar negara,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Ismail Sabri dalam lawatannya ke Thailand memaklumkan Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa berkenaan.

Tambah Adnan, ketika ini masih banyak agensi kerajaan yang menganjurkan majlis tetapi tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium penyampaian dan perkara tersebut juga wajar diperluaskan di badan-badan berkanun Persekutuan dan negeri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram