TANPA mengira waktu dan tempat, kejadian samun dan ragut kerap berlaku di negara ini.
Kali ini, membabitkan seorang warga emas yang disamun oleh dua individu bermotosikal di Kampung Konggo, Bandar Tun Razak, Cheras di ibu negara.
Kejadian berkenaan dirakam oleh seorang penduduk kawasan tersebut.
Dalam video berdurasi 18 saat itu, seorang wanita berbaju merah dilihat cuba membantu warga emas itu namun penjenayah terbabit mengacukan parang kepadanya.
Difahamkan, wanita tersebut merupakan anak kepada mangsa.
Selain itu, perakam video berkenaan juga mendakwa dia hanya mampu mencampakkan botol susu anak bagi menghalang kejadian itu tetapi tidak berjaya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku sekitar pukul 9 pagi Sabtu.
Video itu juga menunjukkan keadaan mangsa yang seolah-olah pasrah membiarkan dua suspek terbabit memotong gelang emas yang dipakainya.
Berdasarkan maklumat dikongsi menerusi ruangan komen di media sosial, penjenayah itu menaiki motosikal jenama Yamaha Y15 dengan nombor pendaftaran kenderaan 'ALA 850'.
PERKONGSIAN berhubung kejadian itu di media sosial. — Facebook
Perakam video itu juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membuat laporan polis.
Majoriti kini cuba mendapatkan kenyataan pihak polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram