Polis buru dua individu terbabit kes samun di Ipoh


  • 112
  • Khamis, 24 Feb 2022

TANGKAP layar video samun yang tular di media sosial. — Facebook

POLIS Perak memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Menglembu, Ipoh, Perak pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1,600.

"Kejadian itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial.

"Dua suspek disyaki warga tempatan bersenjatakan parang masuk ke kedai berkenaan sekitar jam 6 petang.

"Kedua-dua suspek memaksa pekerja-pekerja kedai menyerahkan barangan peribadi selain menyelongkar kaunter juruwang sebelum beredar," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, video berdurasi seminit 16 saat yang tular di media sosial itu memaparkan dua lelaki bertopi keledar dan berpakaian gelap menyerbu masuk kedai runcit dengan salah seorang daripada mereka memegang sebilah parang.

Tambah beliau, laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram