SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Kembara dalam kejadian di arah selatan kilometer (km) 458.4 Lebuh Raya Utara Selatan di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, motosikal tersebut dirempuh oleh SUV berkenaan berhampiran kawasan rehat dan rawat (RNR) Restoran Jejantas Sungai Buloh sekitar jam 7.20 pagi.
"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 65 tahun manakala isterinya wanita warga asing berumur 57 tahun.
"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai dilanggar daripada arah belakang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, wanita warga asing tersebut disahkan maut di lokasi kejadian manakala suaminya meninggal dunia pada jam 3.40 petang ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Sungai Buloh.
Mohd Fakhrudin berkata, suspek yang merempuh kedua-dua mangsa sudah ditahan untuk membantu siasatan.
"Sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 0193318339," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram